Isnin, 24 Januari 2022 | 1:13pm

Buruh binaan mengaku rompak secara berkumpulan

KOTA BHARU: Seorang buruh binaan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan merompak secara berkumpulan dengan bersenjatakan sebilah parang terhadap dua mangsa, 18 Januari lalu.

Tertuduh, Abdul Muhaimin Alias, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompak dengan bersenjatakan sebilah parang terhadap seorang lelaki, Mohammad Jubair Lalu dan rakan sehingga mendatangkan kerugian sebanyak RM5,000.

Perbuatan itu dilakukan di rumah kongsi Kampung Pauh Badang, di sini, jam 3 pagi, pada 18 Januari 2022.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fariz Abdul Hamid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ahmad Fariz tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh mengaku salah dan memohon satu tarikh untuk fakta kes serta jatuh hukuman.

Mahkamah menetapkan Rabu ini untuk jatuh hukuman.

Buruh binaan, Abdul Muhaimin Alias, 30, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Kota Bharu, hari ini, atas pertuduhan melakukan rompak berkumpulan dengan menggunakan sebilah parang pada 18 Januari lalu. - NSTP/Hidayatidayu Razali
Buruh binaan, Abdul Muhaimin Alias, 30, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Kota Bharu, hari ini, atas pertuduhan melakukan rompak berkumpulan dengan menggunakan sebilah parang pada 18 Januari lalu. - NSTP/Hidayatidayu Razali
Berita Harian X