Isnin, 24 Januari 2022 | 10:13am
Lori dinaiki dua suspek yang dipercayai memiliki dadah jenis syabu bernilai RM36,000 ditahan di Lebuh raya Salor, di sini, semalam. - Foto PDRM
Lori dinaiki dua suspek yang dipercayai memiliki dadah jenis syabu bernilai RM36,000 ditahan di Lebuh raya Salor, di sini, semalam. - Foto PDRM

Pemandu, kelindan lori ditahan miliki syabu bernilai RM36,000

PASIR MAS: Pemandu dan kelindan lori ditahan pihak polis selepas disyaki memiliki satu kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM36,000 ketika ditahan di Lebuh raya Salor, di sini, jam 3 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata, ketika kejadian anggotanya sedang membuat rondaan sebelum terserempak sebuah lori jenis Hino berwarna putih dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, mereka kemudian menahan lori itu dan memeriksa kad pengenalan diri dua lelaki masing-masing berusia 32 serta 36 tahun.

"Tiada barangan salah ditemui pada kedua-dua suspek, namun sebaik pemeriksaan menyeluruh dilakukan di dalam lori menemukan bungkusan plastik mengandungi dadah berkenaan di bahagian tengah tempat duduk.

"Lori serta dadah dirampas manakala kedua-dua suspek ditahan untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi tindakan lanjut.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada suspek iaitu kelindan lori positif dadah jenis Methamphetamine," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, pemandu lori berkenaan mengaku semua dadah itu miliknya selain menerima upah RM200 bagi sekali penghantaran.

"Suspek mengaku mendapatkan bekalan dadah daripada individu yang digelar 'Bos Die' berasal dari Kampung Padang Kala, Peringat, Kota Bharu.

"Pihak kami cuba menghubungi individu berkenaan tetapi panggilan tidak dijawab, namun akan terus menjejaki lelaki itu melalui bukti dan maklumat yang ada," katanya.

Berita Harian X