Ahad, 23 Januari 2022 | 7:56pm
Gambar fail
Gambar fail

Kualiti udara sekitar Pulau Burung dipantau berterusan

NIBONG TEBAL: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang masih menjalankan pengawasan kualiti udara berterusan selama 24 jam setiap hari di lokasi-lokasi berdekatan Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, di sini dengan tumpuan diberikan kepada sekolah-sekolah yang dijangka akan dibuka semula esok.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata setakat jam 5 petang tadi bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di stesen IPU sementara di Ladang Byram, di sini mencatatkan bacaan sederhana iaitu 92.

"Manakala stesen-stesen lain di Pulau Pinang mencatatkan bacaan antara 51 hingga 71 (sederhana) iaitu setara dengan bacaan di Kulim dan Sungai Petani di Kedah serta stesen-stesen di Perak.

"JAS negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melakukan pembakaran terbuka," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya, JAS mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka ketika ini berikutan keadaan cuaca panas tanpa hujan.

Ia berikutan, pihaknya mengesan beberapa aktiviti pembakaran terbuka walaupun negeri ini sedang berdepan kejadian kebakaran besar di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, di sini sejak lebih seminggu lalu.

"Walaupun, ramai yang menyatakan kerisauan tentang kualiti udara yang dikatakan merosot akibat insiden kebakaran itu, aktiviti pembakaran terbuka masih dikesan menerusi aduan dan rondaan JAS negeri.

"Malah, beberapa aduan turut diterima berkaitan pembakaran terbuka yang dilakukan tidak jauh dari lokasi tapak pelupusan yang terbakar itu," katanya.

Laporan media minggu ini melaporkan dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka selepas kualiti udara dekat situ dikesan berisiko ekoran kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung.

Semalam, sebanyak 42 peratus daripada lebih 11 hektar kawasan kebakaran dikatakan berjaya dipadamkan selepas 10 hari operasi pemadaman kawasan itu dilakukan melibatkan pelbagai agensi.

Berita Harian X