Ahad, 23 Januari 2022 | 4:25pm
Sebahagian peserta perhimpunan yang hadir berkumpul mendesak Azam Baki ditahan di LRT Bangsar, semalam. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad
Sebahagian peserta perhimpunan yang hadir berkumpul mendesak Azam Baki ditahan di LRT Bangsar, semalam. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad

Polis kenal pasti penganjur, peserta perhimpunan

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengenal pasti penganjur dan peserta yang terbabit dalam perhimpunan mendesak Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ditahan yang berlangsung di Bangsar, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata sebahagian identiti penganjur dan peserta perhimpunan itu sudah pun dikenal pasti pihak polis.

"Sebahagian sudah dikenal pasti dan selebihnya sedang dalam tindakan secepat mungkin," katanya dalam satu jawapan ringkas kepada media hari ini.

Sementara itu, peguam, Muhammad Kamil Abdul Munim, berkata seramai 12 individu yang menghadiri ceramah mendesak Azam ditahan di sebuah restoran Jumaat lalu akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, esok.

Katanya, mereka terdiri Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Hasbie Muda; Naib Ketua Pemuda AMANAH, Zubair Rahim; Pengarah Strategik Pemuda AMANAH, Asmaalif Abdul Adam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How.

Turut dipanggil, Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda AMANAH, Abbas Azmi; Naib Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Dr Thanussha Francis Xavier; Pengerusi Jalinan Nusantara Malaysia, Mohd Azam Mekar dan Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syukri Razab.

Selain itu, aktivis, Adam Adli Abdul Halim; pensyarah, Dr Abu Hafiz; peguam, Bakri Omar dan aktivis sosial media, Amira Aisha.

"Semua individu itu akan dipanggil ke IPD Brickfields jam 2 petang esok.

"Saya akan hadir untuk mewakili Adam Adli bersama beberapa peguam lain yang turut mewakili individu lain yang dipanggil ke IPD Brickfields esok," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, polis menahan beberapa individu yang menyertai ceramah di restoran terletak di Bangsar itu, kira-kira jam 11.58 malam.

Berita Harian X