Sabtu, 22 Januari 2022 | 9:40pm
Anggota polis terbabit dalam penugasan Op Aman bagi mengawasi perhimpunan mendesak Ketua Pesuruhjaya SPRM meletak jawatan. NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Anggota polis terbabit dalam penugasan Op Aman bagi mengawasi perhimpunan mendesak Ketua Pesuruhjaya SPRM meletak jawatan. NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Sebahagian peserta perhimpunan membanjiri kawasan sekitar stesen LRT di Bangsar. - NSTP/Hazreen Mohamad
Sebahagian peserta perhimpunan membanjiri kawasan sekitar stesen LRT di Bangsar. - NSTP/Hazreen Mohamad

Ahli Parlimen, ADUN antara 400 peserta perhimpunan #TangkapAzamBaki

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan kehadiran beberapa individu terdiri daripada Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang menyertai perhimpunan #TangkapAzamBaki di sekitar Bangsar, pagi tadi.

Selain ahli politik, polis turut mengenal pasti orang awam yang menyertai perhimpunan yang dihadiri kira-kira 400 individu di sekitar Jalan Bangsar menuju ke Jalan Travers, di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata pihaknya akan melaksanakan siasatan berkaitan perhimpunan berkenaan mengikut Akta Perhimpunan Awam 2012.

"Siasatan juga turut dijalankan bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Pihak polis menggesa semua mematuhi segala undang-undang di Malaysia, yang masih berkuat kuasa serta mengikut saluran yang betul untuk menyuarakan pendapat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amihizam berkata, terdahulu lebih 50 peserta perhimpunan mula dikesan berkumpul di Stesen LRT Bangsar pada jam 10.45 pagi dengan memakai baju hitam sebelum peserta perhimpunan bertambah kepada 400 orang pada jam 11.45 pagi.

"Dari LRT Bangsar, peserta perhimpunan berarak ke Jalan Travers sambil membawa kain rentang bercetak 'Tangkap' sebelum berhenti di persimpangan menuju ke pekan Brickfields.

"Di sini, ketua perhimpunan memberikan ucapan selama 30 minit sebelum mereka berpatah balik ke LRT Bangsar dan bersurai secara berperingkat," katanya.

Seramai 21 pegawai polis dan 205 anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, dengan bantuan sumber manusia dari Polis Simpanan Persekutuan (PSP) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, terbabit dalam penugasan Op Aman bagi mengawasi perhimpunan berkenaan.

Berita berkaitan:

  • Semua jalan di Bangsar, pusat bandar dibuka semula
  • Pengusaha dakwa perhimpunan #TangkapAzamBaki jejas perniagaan
  • Peserta #TangkapAzamBaki mulai bersurai
  • Pasukan Unit Tempur Ringan halang perarakan
  • Peserta himpunan #TangkapAzamBaki mula berarak
  • Jentera FRU tiba di Stesen LRT Bangsar
  • Puluhan individu berbaju hitam di sekitar kawasan LRT Bangsar
  • Polis siasat majlis ajak orang ramai sertai himpunan
  • Jalan utama sekitar Bangsar mulai sesak
  • Beberapa stesen LRT, MRT, Monorel KL ditutup
  • Polis lencong lima laluan di Bangsar
  • Berita Harian X