Sabtu, 22 Januari 2022 | 5:27pm

PGA rampas 88 kilogram ganja

BUKIT KAYU HITAM: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 88 kilogram (kg) ganja mampat bernilai RM4.4 juta di kawasan semak berhampiran stesen kereta api Padang Besar, Perlis di sini, malam tadi.

Timbalan Komander Briged Utara PGA, Asisten Komisioner Noh Khamis, berkata dalam serbuan jam 9 malam itu anggota Batalion 18 ternampak kelibat dua lelaki keluar masuk berjalan kaki dari kawasan Thailand dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, anggotanya terpaksa bersembunyi untuk melihat gerak geri suspek dalam keadaan gelap, kira-kira 10 meter untuk mengelak daripada dikesan.

"Kita dapati mereka keluar masuk dari negara jiran ke negara ini dengan membawa plastik bungkusan hitam, namun selepas mendapati tiada siapa mengambil barangan berkenaan hampir 30 minit, anggota terus melakukan pemeriksaan dan menemui tujuh bungkusan plastik hitam.

"Kawasan itu memang menjadi port penyeludupan barangan terlarang," katanya pada sidang media di Markas Taktikal Briged Utara PGA, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Pemerintah Batalion 18, Superintendan Ramli Wan Salin.

Noh berkata, kawasan berpagar kawad duri dan berhampiran dengan stesen kereta api itu menyukarkan anggotanya untuk melakukan tangkapan serta-merta.

"Nilai keseluruhan ganja yang dirampas adalah RM4.4 juta dengan setiap sekilogram bernilai RM50,000. Kawalan di sempadan akan diperketatkan lagi serta penggunaan unit dron untuk pemantauan lebih meluas bagi mengekang kegiatan penyeludupan di sempadan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sepanjang Batalion 18 mengambil alih tugas menjaga Ops Wawasan Kedah/Perlis bermula 1 Januari hingga semalam, sebanyak 44 kes direkodkan.

"Sepanjang tempoh itu seramai 44 individu ditahan dan 16 daripadanya warga tempatan, 11 warga Thailand, manakala 17 lagi warga Myanmar.

"Daripada jumlah 44 kes itu, ia membabitkan rampasan ketum sebanyak 15,435kg, tujuh motosikal, dua van, arak pelbagai jenama serta barangan makanan yang tidak menepati syarat pelabelan.

"Jumlah keseluruhan rampasan bernilai lebih RM5 juta untuk semua kes berkenaan," katanya.

Anggota Briged Utara PGA ASP Abd Razak Awang menunjukkan sebahagian rampasan ganja dengan anggaran berat 88 kilogram bernilai RM4.4 juta yang dirampas di Padang Besar pada sidang media di Markas Taktikal PGA Bukit Kayu Hitam. - Foto NSTP Luqman Hakim Zubir
Anggota Briged Utara PGA ASP Abd Razak Awang menunjukkan sebahagian rampasan ganja dengan anggaran berat 88 kilogram bernilai RM4.4 juta yang dirampas di Padang Besar pada sidang media di Markas Taktikal PGA Bukit Kayu Hitam. - Foto NSTP Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X