MELAKA: Seorang lelaki dan tiga anaknya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan menawarkan projek menggali pasir yang tidak wujud kepada sebuah syarikat membabitkan pembayaran RM1 juta.
Tertuduh, Wong Tiing Kiong, 63, bersama anaknya, Felix Wong Sing Jie, 27; Wong Sing Kung, 43 dan Amy Wong E Tim, 33, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa mahkamah dalam dua prosiding berasingan.
Bagi pertuduhan di hadapan Hakim Nariman Badruddin, Tiing Kiong didakwa dengan dua pertuduhan iaitu dengan curang menipu, mendorong dan memperdayakan sebuah syarikat dengan menawarkan projek menggali pasir tidak wujud.
Ia menyebabkan syarikat itu membuat pembayaran RM1 juta melalui dua cek berasingan di sebuah bank di Melaka Raya, pada 17 dan 19 April 2019.
Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun, denda dan sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari yang mencadangkan jaminan RM400,000.
Bagi prosiding di hadapan Hakim Maziah Joary Tajudin, tiga anak tertuduh yang turut didakwa atas pertuduhan sama juga mengaku tidak bersalah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim.
Mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM20,000 setiap seorang selain perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.
Mahkamah turut menetapkan 21 Februari depan tarikh sebutan semula kes.
Kesemua tertuduh diwakili peguam Paul Krishnaraja.