X
Khamis, 20 Januari 2022 | 12:23pm

Pembantu perawatan didakwa salah guna resit Klinik Kesihatan Lukut

SEREMBAN: Seorang pembantu perawatan kesihatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menyalahgunakan kuasa meminda resit rasmi kerajaan melebihi jumlah sebenar, kira-kira dua tahun lalu.

Tertuduh, G Panjjawarnan, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Rushan Lutfi Mohamed.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai pembantu perawatan kesihatan di Klinik Kesihatan Lukut, Port Dickson didakwa terbabit dalam urusan menerima wang awam dengan menulis resit rasmi kerajaan melebihi jumlah sebenar sepatutnya dibayar kepada klinik itu.

Dia didakwa melakukan perbuatan terbabit di tempat kerjanya itu pada 14 Mei 2019, didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Peguam bela, Hasvinder Singh Gill, merayu supaya anak guamnya diberi jaminan RM2,000 atas alasan tertuduh memberi kerjasama sepanjang proses siasatan.

Katanya, tertuduh juga menanggung kos perubatan suami yang menghidap angin ahmar dan seorang anak berusia 14 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 oleh seorang penjamin dan melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan sehingga kes selesai, sebelum menetapkan 21 Februari depan untuk sebutan semula.

Pembantu perawatan kesihatan, G Panjjawarnan, 42, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan menulis resit rasmi kerajaan melebihi jumlah wang awam yang sepatutnya dibayar kepada Klinik Kesihatan Lukut, dua tahun lalu. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
Pembantu perawatan kesihatan, G Panjjawarnan, 42, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan menulis resit rasmi kerajaan melebihi jumlah wang awam yang sepatutnya dibayar kepada Klinik Kesihatan Lukut, dua tahun lalu. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
Berita Harian X