Rabu, 19 Januari 2022 | 7:15pm
GAMBAR tular menunjukkan seorang lelaki tidak sedarkan diri di sebuah restoran di Hulu Selangor. NSTP/Ihsan Pembaca
GAMBAR tular menunjukkan seorang lelaki tidak sedarkan diri di sebuah restoran di Hulu Selangor. NSTP/Ihsan Pembaca

Mati sebab sakit jantung, bukan dos penggalak

KUALA LUMPUR: Polis menafikan dakwaan gambar tular di media sosial kononnya seorang lelaki meninggal dunia di sebuah restoran di Bukit Sentosa, Hulu Selangor, hari ini, akibat mengambil suntikan dos penggalak vaksin COVID-19.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 7 pagi daripada pekerja restoran membabitkan pekerja kilang berusia 54 tahun tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin, berkata siasatan mendapati mangsa maut akibat serangan jantung dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

"Penolong pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Serendah mengesahkan kematian lelaki itu. Isteri mangsa pula mengesahkan lelaki berkenaan ada penyakit jantung dan darah tinggi sejak lima tahun lalu serta masih menerima rawatan di Hospital Selayang.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk ujian COVID-19 dan bedah siasat. Hasilnya mangsa negatif jangkitan itu dan punca kematian adalah sakit jantung kronik. Tiada elemen jenayah dalam kes ini yang diklasifikasi SDR," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, sekeping gambar tular menunjukkan seorang lelaki tidak sedarkan diri di sebuah restoran di Hulu Selangor.

Gambar itu mendakwa mangsa yang mempunyai masalah jantung meninggal dunia ketika bersarapan selepas mengambil dos penggalak tiga hari lalu.

Arsad menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung kejadian berkenaan yang tular di media sosial.

Berita Harian X