Rabu, 19 Januari 2022 | 4:00pm
Foto hiasan
Foto hiasan

SPRM tahan pengarah syarikat kemuka dokumen palsu

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang pengarah sebuah syarikat selepas disyaki mengemukakan dokumen palsu kepada sebuah kementerian di Putrajaya.

Ia dipercayai bagi urusan proses tuntutan pembayaran balik subsidi minyak masak sawit tulen berjumlah lebih RM25,000.

Sumber berkata, suspek wanita berusia 47 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor Bahru, jam 2 petang tadi selepas hadir memberi keterangan.

Difahamkan, suspek mengemukakan dokumen palsu berbentuk invois dengan menggunakan nama syarikat lain kepada kementerian terbabit bagi proses tuntutan berkenaan sepanjang tahun 2019.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, esok bagi mendapatkan permohonan reman.

Berita Harian X