Selasa, 18 Januari 2022 | 2:05pm
Tujuh PATI bersama seorang tekong darat yang memandu Proton Iswara di tahan pasukan keselamatan di Jalan Habib Sheikh, dekat pusat bandar, di sini, malam tadi. - Foto PPM
Tujuh PATI bersama seorang tekong darat yang memandu Proton Iswara di tahan pasukan keselamatan di Jalan Habib Sheikh, dekat pusat bandar, di sini, malam tadi. - Foto PPM

Tekong darat cuba seludup PATI ditahan

TAWAU: Cubaan menyeludup tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia menggunakan kereta Proton Iswara gagal apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di Jalan Habib Sheikh, Sabindo, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.30 malam, sepasukan anggota dari Unit Risikan Marin (URM) dibantu Tim Ocp Daratan ESSCOM, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) yang membuat pemantauan dan risikan di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4 Jalan Apas mengesan sebuah kenderaan dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, bagaimanapun sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, pemandu memecut kenderaan menghala ke pusat bandar.

"Pasukan keselamatan kemudiannya bertindak mengejar kenderaan terbabit sebelum berjaya ditahan di kawasan parkir berhampiran bangunan kedai.

"Hasil pemeriksaan mendapati seramai lapan individu termasuk pemandu, tiga wanita, seorang lelaki dan tiga kanak-kanak duduk berhimpit di dalam kenderaan berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ridzauddin berkata, siasatan lanjut juga mendapati semua mereka yang berumur antara dua hingga 38 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah untuk memasuki negara ini.

Beliau berkata, lelaki tempatan berasal dari Kampung Hampalan Semporna yang juga pemandu kenderaan disyaki berperanan sebagai tekong darat, turut ditahan untuk siasatan lanjut.

"Semua mereka ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 26J, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670)," katanya.

Berita Harian X