IPOH: Polis Perak mengeluarkan empat kompaun terhadap individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana membawa kanak-kanak ketika menyertai perarakan 'chariot' sempena sambutan Thaipusam yang bermula semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata selain itu individu terbabit turut melakukan kesalahan tidak memakai pelitup muka.
"Perarakan chariot bermula seawal jam 5 petang dan berakhir jam 1 pagi berjalan lancar, walaupun ada empat kompaun dikeluarkan atas pelanggaran SOP asas kerana tidak memakai pelitup muka serta membawa kanak-kanak.
"SOP ini dengan jelas menyatakan mereka yang berusia 18 tahun ke atas saja dibenar menyertai perayaan Thaipusam, tetapi masih ada yang degil dengan membawa kanak-kanak," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.
Mior Faridalathrash berkata, SOP yang berkuat kuasa selama empat hari itu turut menetapkan tidak membenarkan perarakan menggunakan kavadi.
"Perarakan chariot dibenarkan daripada destinasi pertama kepada destinasi kedua, namun perarakan menggunakan kavadi tidak dibenarkan.
"Semalam ada maklumat mengatakan cubaan pihak tertentu membawa kavadi, kita sudah memberi arahan kepada Ketua Polis Daerah Ipoh mengambil tindakan tegas jika masih ada berdegil membawa kavadi," katanya.
Beliau berkata, beberapa laluan di bandar raya ditutup bagi memudahkan proses perarakan chariot sempena perayaan Thaipusam di sini.
"Penutupan jalan dilakukan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan orang ramai sepanjang sambutan ini berlangsung, selain penugasan kawalan diatur pihak polis.
"Justeru orang ramai dinasihati terus mematuhi SOP dikeluarkan sepanjang sambutan berkenaan bagi memastikan tiada jangkitan pandemik," katanya.
Mior Faridalathrash berkata, seramai 250 anggota dan pegawai ditugas melakukan pemantauan di beberapa kuil dan sepanjang perayaan berlangsung di sekitar bandar raya bagi memastikan SOP dipatuhi.
"Pada hari ini dan esok mungkin kita akan meningkatkan lagi jumlah anggota melakukan pemantauan," katanya.
Sementara itu, mengulas kes kebakaran di satu daripada premis menjual kacang putih, Mior Faridalathrash berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan jika terdapat unsur khianat dalam insiden terbabit.
"Kita sedang menunggu laporan siasatan penuh pihak forensik bomba berkenaan punca kebakaran berlaku.
"Jika ada perbuatan khianat, siasatan akan diambil alih pihak polis dan jika kerana litar pintas dan sebagainya, kita serahkan kepada bomba membuat laporan," katanya.