Isnin, 17 Januari 2022 | 10:41am
Anggota polis dibantu orang awam sedang mengalihkan mayat mangsa yang terbabit dalam nahas di Kampung Pangkal Kala, malam tadi.
Anggota polis dibantu orang awam sedang mengalihkan mayat mangsa yang terbabit dalam nahas di Kampung Pangkal Kala, malam tadi.

Mekanik, pelajar tahfiz maut motosikal bertembung

PASIR MAS: Dua penunggang motosikal termasuk seorang pelajar tahfiz, maut selepas kenderaan mereka bertembung dalam kemalangan di Kampung Pangkal Kala di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mekanik, Mohd Aizat Abdul Ghani, 22, dan pelajar tahfiz, Muhammad Amirul Hakim Abdullah, 17, masing-masing meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata siasatan mendapati kejadian berlaku ketika Mohd Aizat yang menunggang dari arah Gelang Mas menghala ke Bunut Susu, manakala Muhammad Amirul dari arah bertentangan.

"Kedua-dua motosikal itu bertembung di tengah laluan di lokasi kejadian menyebabkan kedua-dua mangsa yang tidak memakai topi keledar ketika itu, terjatuh di tengah jalan dan cedera parah di kepala.

"Mohd Aizat yang tinggal di Kampung Kedondong Kubang Gadong, Pasir Mas dan Muhammad Amirul beralamat di Kampung Jal Besar, Tumpat disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kemalangan dipercayai akibat daripada kecuaian kedua-dua penunggang yang menunggang dalam keadaan laju di lokasi yang gelap dan jalan lurus," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari.

Beliau berkata, kedua-dua motosikal remuk di bahagian hadapan dan mangsa dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat yang sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X