Ahad, 16 Januari 2022 | 8:42pm
Anggota bomba sedang memadam kebakaran yang membabitkan dua unit kediaman di tingkat empat Rumah Pangsa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Taman Sri Rampai, petang tadi. - Foto ihsan Bomba
Anggota bomba sedang memadam kebakaran yang membabitkan dua unit kediaman di tingkat empat Rumah Pangsa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Taman Sri Rampai, petang tadi. - Foto ihsan Bomba

Dua unit rumah pangsa musnah terbakar

KUALA LUMPUR: Dua unit kediaman di tingkat empat Blok 8 Rumah Pangsa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Taman Sri Rampai di sini, musnah dalam kebakaran, petang tadi.

Pusat Gerakan Operasi Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 4.06 petang, menggerakkan 44 anggota bersama enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wangsa Maju, BBP Keramat, BBP Setapak dan BBP Hang Tuah ke lokasi.

Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Ahmad Daniel Ahmad Kamal, berkata setibanya pasukan bomba di lokasi

pada jam 4.15 petang, api kebakaran sedang marak di dua unit kediaman terbabit.

"Kebakaran membabitkan kediaman berkeluasan 12 x 12 meter persegi setiap satu dengan unit kediaman pertama musnah seratus peratus, manakala sebuah lagi musnah 60 peratus," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, tiada mangsa terbabit dalam kejadian ini dan pihak bomba masih menyiasat punca sebenar kebakaran.

Berita Harian X