ALOR SETAR: Polis Kedah mengeluarkan 244 saman membabitkan kesalahan memotong barisan dan tidak berhenti semasa lampu isyarat merah dalam 16 operasi di lima daerah di negeri ini sejak 1 Januari hingga semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kedah, Superintendan Mohd Mahiri Hussin, berkata kesalahan yang dilakukan itu adalah antara penyumbang terbesar kemalangan yang boleh mengundang maut.
Beliau berkata, daerah Kulim mencatatkan saman tertinggi bagi kesalahan tidak berhenti semasa lampu merah, iaitu 62, diikuti Kuala Muda (52), Kubang Pasu (21), Kota Setar (16) dan Pendang (9).
"Saman yang dikeluarkan untuk potong barisan yang tertinggi juga di Kulim iaitu 52, manakala di Kota Setar sebanyak 21 dan Kuala Muda sebanyak 11 saman, menjadikan jumlah keseluruhan 84 saman," katanya di sini hari ini.
Mohd Mahiri berkata, saman terhadap pemandu kereta tertinggi dikeluarkan di lima daerah sama, iaitu sebanyak 140 berbanding penunggang motosikal (70), lori (3) dan lain-lain (31).
"Statistik ini menunjukkan sikap pengguna jalan raya masih mengingkari undang-undang. JSPT Kedah akan terus melaksanakan penguatkuasaan ini secara berkala bagi mendisiplinkan pengguna yang juga dinasihatkan mematuhi undang-undang lalu lintas bagi mengelak kemalangan dan mereka yang tidak bersalah menjadi mangsa keadaan," katanya.