Ahad, 16 Januari 2022 | 5:13pm
Laporan BH Online pada 10 Januari 2022 mengenai penahanan 21 individu termasuk 3 wanita bagi membantu siasatan kes mengemukakan penyata akaun bank syarikat mengandungi butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan.
Laporan BH Online pada 10 Januari 2022 mengenai penahanan 21 individu termasuk 3 wanita bagi membantu siasatan kes mengemukakan penyata akaun bank syarikat mengandungi butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan.

Seorang lagi direman kes kemuka penyata akaun bank palsu

ALOR SETAR: Seorang lagi individu yang juga pemilik syarikat direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes mengemukakan penyata akaun bank syarikat yang mengandungi butiran palsu pada 2018 dan 2019.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), reman terhadap lelaki berusia 46 tahun itu dibenarkan oleh Majistret Nur Nabilah A Zainudin selepas SPRM membuat permohonan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur pagi tadi.

Difahamkan, suspek dipercayai mengemukakan penyata akaun bank syarikat yang mengandungi butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan di Wilayah Utara untuk memasuki tender pada 2018 dan 2019.

Sumber memaklumkan, lelaki itu ditahan kira-kira jam 3.30 petang semalam di Pejabat SPRM Kuala Lumpur ketika hadir memberikan keterangan, sekali gus menjadikan seramai 18 individu telah direman setakat ini berkaitan kes terbabit.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pada 12 Jun lalu, media melaporkan sebanyak 25 syarikat dikenal pasti terbabit dalam kes mengemukakan penyata akaun bank yang mengandungi butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan di sini antara 2018 dan 2019.

Semua syarikat dipercayai melakukan perbuatan itu bagi melayakkan mereka mendapatkan kontrak bernilai lebih RM60 juta daripada syarikat pembersihan berkenaan. - BERNAMA

Berita Harian X