IPOH: Tunggakan bil elektrik yang tidak dibayar membongkar kegiatan sindiket memproses dadah jenis ketamin bernilai RM111.2 juta yang menjadikan premis kilang kosong di Kawasan Perindustrian Pusing, Batu Gajah sebagai makmal memproses bahan terlarang itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata operasi membabitkan rampasan ketamin seberat dua tan dijalankan hasil maklumat pemilik premis yang mengesyaki berlaku aktiviti mencurigakan susulan keengganan penyewa menjelaskan tunggakan bil elektrik.
Beliau berkata, turut dirampas adalah bahan kimia serta alat perkakasan yang dipercayai digunakan bagi memproses dadah.
Katanya, operasi dijalankan antara jam 1.30 tengahari, 13 Januari lalu hingga 5.45 pagi keesokannya berhasil menahan tiga lelaki berusia antara 28 hingga 40 tahun yang dipercayai terbabit aktiviti memproses dan mengedar ketamin menerusi tiga serbuan berasingan sekitar negeri ini.
Katanya, operasi dijalankan anggota JSJN Bukit Aman bersama keanggotaan JSJN Perak.
"Modus operandi digunakan sindiket ini yang dipercayai mula aktif sejak pertengahan tahun lalu ialah dengan cara menyewa premis di kawasan perindustrian untuk dijadikan makmal memproses dadah.
"Memandangkan kini banyak kilang menghentikan operasi susulan perintah kawalan pergerakan sebelum ini, membuatkan ramai pihak berminat untuk menyewa kilang.
"Nilai rampasan kes ini adalah yang kedua terbesar selepas pembongkaran sindiket memproses dadah di Johor pada awal tahun lalu," katanya pada sidang media khas di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.
Ayob Khan berkata, kuantiti dadah yang dirampas mampu dibekalkan kepada 6.73 juta penagih.
Ditanya mengenai alasan penyewaan kilang terbabit daripada pemiliknya bagi mengaburi mata, beliau berkata perkara itu masih dalam siasatan.
Beliau berkata, siasatan mendapati ahli sindiket yang dikenalpasti setakat ini mempunyai peranan berbeza masing-masing termasuk ada antara mereka dilatih sebagai 'tukang masak' menghasilkan dadah.
Katanya, saringan awal mendapati dua daripada tiga suspek yang ditahan positif dadah jenis ketamin dan benzo selain dua daripadanya juga mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah serta dadah.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dengan mereka menjalani tempoh reman selama empat hari bermula 14 Januari hingga 17 Januari ini bagi membantu siasatan.
"Tindakan pelucuthakan harta turut diambil ke atas sindiket ini melalui sitaan aset sindiket dianggarkan bernilai RM201,307 merangkumi enam kenderaan, tiga barang kemas, serta wang tunai," katanya .
Katanya, pihaknya akan terus berusaha mengesan saki-baki ahli sindiket yabg masih bebas termasuk tiga lagi lelaki yang kini tersenarai sebagai orang yang dikehendaki polis.
"Pertama adalah Azrul Safuan Mohd Puaad, 28, beralamat di Taman Muhibbah Batu Maung, Bayan Lepas, Pulau Pinang; dan Mohamad Qaiyyum Mohamad Azhar, 23, beralamat di Kampung Sentosa Jalan Simpang, Taiping.
"Selain itu adalah Patmanathan A/L Sivasamy, 44, yang beralamat di No.11 Tepi Jalan Keretapi Jalan Ambar, Alor Setar, Kedah," katanya.