Ahad, 16 Januari 2022 | 12:03pm
Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid
Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid

Long Tiger didakwa Rabu ini

JOHOR BAHRU: Lelaki Rohingya dikenali sebagai Long Tiger yang ditahan semula di Kedah selepas meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak pada 15 Disember lalu, dijangka didakwa Rabu ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, berkata Abd Hamim akan didakwa di Mahkamah Majistret Tangkak.

"Long Tiger akan didakwa pada 19 Januari ini di Tangkak selepas perintah tahanan remannya berakhir," katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Johor dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Johor hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dan Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin.

Pada 6 Januari lalu, Abd Hamim, 33, dilaporkan masih direman selain menjalani kuarantin 14 hari di Penjara Sungai Udang, Melaka.

Pemangku Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin, dilaporkan berkata Long Tiger direman dan dikuarantin mulai 5 sehingga 18 Januari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Long Tiger meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak pada 15 Disember lalu, dipercayai untuk ke negara jiran sebelum ditahan di Jalan Kuala Ketil, Alor Setar, Kedah, pada 28 Disember.

Lelaki itu meloloskan diri melalui pintu hadapan mahkamah ketika menunggu perbicaraan mengikut Seksyen 388 kerana pemerasan.

Dia juga masih mempunyai status perbicaraan mengikut Seksyen 506 kerana mengugut dan mengurung bekas pekerjanya serta kesalahan rogol mengikut Seksyen 376 di Mahkamah Sesyen Muar.

Berita Harian X