Ahad, 16 Januari 2022 | 10:59am
Laporan BH Online pada 29 Disember lalu mengenai kejayaan anggota PGA7 merampas pelbagai jenis perisa vape bernilai RM50,405 di pangkalan haram Lubok Gong, Rantau Panjang. - NSTP/ARKIB
Laporan BH Online pada 29 Disember lalu mengenai kejayaan anggota PGA7 merampas pelbagai jenis perisa vape bernilai RM50,405 di pangkalan haram Lubok Gong, Rantau Panjang. - NSTP/ARKIB

PGA7 tumpas 101 kes seludup, hasil rampasan RM5 juta

RANTAU PANJANG: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) menumpaskan pelbagai jenayah di kawasan sempadan Malaysia-Thailand dengan nilai rampasan hampir RM5 juta dalam tempoh sebulan Op Benteng COVID-19.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, berkata jenayah berkenaan merangkumi 101 kes penyeludupan membabitkan beras, dadah, pendatang asing tanpa izin (PATI), barangan kontraban dan hidupan liar dengan tangkapan suspek seramai 125 orang.

"Rampasan barangan kontraban seperti pakaian, vape, rokok dan pelbagai jenis makanan adalah yang paling tinggi untuk operasi kali ini, membabitkan nilai lebih RM2.4 juta dan tangkapan 32 suspek, majoritinya warga tempatan.

"Ia disusuli kes penyeludupan ternakan dengan nilai rampasan lebih RM708,000 membabitkan 114 ikan laga, 73 kambing dan 14 lembu yang diseludup dari negara jiran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, PGA7 turut menghadapi situasi dua gelombang banjir di Kelantan, menyebabkan pihaknya terpaksa menutup beberapa penugasan di kawasan tanggungjawab demi keselamatan pegawai dan anggota, namun rondaan menggunakan kenderaan berat di kawasan bah diteruskan.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi. - NSTP/ARKIB
Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi. - NSTP/ARKIB

"Bagi tempoh penugasan kali ini , Batalion 7 PGA lebih menumpukan pengumpulan maklumat risikan. Serbuan dan operasi lebih menjurus kepada stor dan premis yang dijadikan transit pengumpulan barangan seludup, termasuk lokasi penyimpanan rokok tidak bercukai, dadah, senjata api dan barangan kawalan," katanya.

Azhari berkata, hasil penugasan selama sebulan PGA7 melalui Op Benteng COVID-19 adalah kejayaan besar dan amat membanggakan walaupun terjejas berikutan banjir.

Menurutnya, Ops Benteng COVID-19 kini diserahkan kepada PGA8 Pengkalan Chepa, bermula hari ini.

Berita Harian X