Sabtu, 15 Januari 2022 | 6:13pm
Seorang remaja yang videonya tular di media sosial kerana dimandikan seperti 'jenazah' akibat cuba mencuri tabung masjid, dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini, Khamis lalu. - Foto fail BERNAMA
Seorang remaja yang videonya tular di media sosial kerana dimandikan seperti 'jenazah' akibat cuba mencuri tabung masjid, dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini, Khamis lalu. - Foto fail BERNAMA

Mahkamah Tinggi semak kes remaja curi tabung masjid Isnin ini

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi akan menyemak keputusan kes seorang remaja lelaki yang dijatuhi hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 kerana cuba mencuri tabung masjid baru-baru ini.

Pendengaran semakan terhadap keputusan Mahkamah Majistret Selayang yang menjatuhkan hukuman itu ke atas Daniel Iskandar, 19, ditetapkan pada Isnin ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata prosiding semakan itu ditetapkan mengikut peruntukan mengikut Bab 31 Kanun Tatacara Jenayah.

"Tetuan Hariz Syakinah & Co telah dilantik oleh Daniel Iskandar untuk mewakilinya dengan bantuan PPMM. Maka PPMM melalui Tetuan Hariz Syakinah & Co akan hadir di Mahkamah Tinggi pada hari tersebut," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Bab 31 Kanun Tatacara Jenayah, antara lain, adalah berkaitan kuasa Hakim untuk memanggil rekod Mahkamah Rendah dan kuasa Hakim untuk semakan.

Semalam, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam sidang akhbar berkata hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Rendah boleh disemak oleh Mahkamah Tinggi jika didapati berlebihan atau kurang sesuai mengikut undang-undang sedia ada.

Peguam, Muhammad Hariz Md Yusoff, ketika dihubungi, pula berkata permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Indera Abd Halim Aman pada jam 9 pagi.

Beliau berkata, anak guamnya kini berada di Penjara Kajang dan pihaknya tidak dapat bersemuka dengan remaja itu berikutan prosedur operasi standard yang memerlukan ujian RT-PCR dibuat terlebih dahulu.

"Saya sudah pergi ke Penjara Kajang dan hanya berhubung melalui surat bertulis dengan pegawai penjara yang kemudian disampaikan kepada Daniel.

"Berdasarkan rekod penjara, anak guam kami sepatutnya bebas pada Isnin ini namun apabila ada prosiding semakan, dia akan dibawa terlebih dahulu ke Mahkamah Tinggi Shah Alam," katanya.

Khamis lalu, Mahkamah Majistret Selayang menjatuhkan hukuman itu ke atas Daniel selepas remaja tersebut mengaku cuba mencuri tabung masjid pada 8 Januari lalu.

Media sebelum ini melaporkan tular di media sosial video berdurasi satu minit 25 saat yang memaparkan tindakan jemaah sebuah masjid memandikan remaja itu seperti jenazah serta melumurkannya dengan kapur barus kerana mencuri tabung masjid. – BERNAMA

Berita Harian X