Sabtu, 15 Januari 2022 | 4:11pm
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu

Kes dadah, ADUN Pasir Bedamar buat laporan polis

IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu hari ini membuat laporan polis susulan penahanannya membabitkan kesalahan dadah di Pulau Pinang baru-baru ini.

Wakil rakyat DAP itu bagaimanapun enggan mendedahkan butiran laporan dibuat dan memaklumkan satu kenyataan akan dikeluarkan berhubung penahanannya.

"Saya sudah membuat laporan polis dan akan mengeluarkan kenyataan dalam tempoh terdekat," katanya dihubungi.

Semalam media melaporkan, seorang ADUN Perak ditahan bersama 35 individu lain selepas ujian saringan air kencing mereka positif dadah.

Wakil rakyat berusia 50-an itu ditahan di sebuah restoran yang berlatar seolah-olah seperti kelab malam dekat Perai, di sini, kira-kira jam 9 malam Khamis lalu.

Difahamkan, premis itu dahulunya adalah sebuah kelab malam dan kini beroperasi menggunakan lesen restoran.

Penahanan ADUN itu disahkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah.

Susulan penahanan itu, DAP Perak meminta Terence memberi laporan bertulis supaya pimpinan parti di peringkat negeri mahupun Pusat dimaklumkan mengenai situasi sebenar yang berlaku.

Berita Harian X