Sabtu, 15 Januari 2022 | 3:49pm
Datuk Lokman Noor Adam
Datuk Lokman Noor Adam

Polis belum panggil Lokman Adam

KUALA LUMPUR: Polis masih belum memanggil Presiden Laskar Siber Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam untuk dirakam keterangan berhubung dakwaan memfitnah dan mengaibkan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menerusi video di media sosial.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata pihaknya mendapat perintah untuk siasat (OTI) kes itu selepas dirujuk dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

"Ketua Pengarah berkenaan (Mohd Na'im) membuat laporan di IPD Ampang Jaya, namun ia dirujuk ke IPD Sepang kerana pengadu melihat video itu di rumahnya di Dengkil.

"Kita sudah dapat OTI kes itu namun Lokman Adam masih belum dipanggil lagi," katanya hari ini.

BH melaporkan Mohd Na'im menghantar notis tuntutan saman kepada Lokman kelmarin kerana didakwa memfitnah dan mengaibkan Hakim Mahkamah Syariah itu.

Peguam Mohd Na'im, Datuk Akberdin Abdul Kader dipetik berkata, anak guamnya turut membuat laporan di IPD Ampang Jaya kelmarin, bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat kenyataan berkenaan.

Kenyataan itu berkaitan dakwaan seorang wanita menjadi mangsa gangguan seksual Hakim Mahkamah Syariah itu.

Berita Harian X