Sabtu, 15 Januari 2022 | 11:17am
PATI yang ditahan dipercayai dibawa dari sempadan Malaysia-Thailand ke Johor Bahru bagi tujuan bekerja di lokasi yang masih belum pasti. - Foto ihsan PGA7
PATI yang ditahan dipercayai dibawa dari sempadan Malaysia-Thailand ke Johor Bahru bagi tujuan bekerja di lokasi yang masih belum pasti. - Foto ihsan PGA7

2 tekong, 18 PATI warga Myanmar ditahan

PASIR MAS: Dua tekong dan 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) ketika cuba menyusup masuk ke negara ini secara haram di hadapan Sekolah Menengah Ugama (SMU) Arab Islamiah Pasir Mas, di sini, malam tadi.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, berkata dalam kejadian jam 8.22 malam itu, anggota menahan dua kenderaan Hyundai Starex berwarna perak dan hitam yang dalam keadaan mencurigakan sebelum memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati dua pemandu kenderaan, masing-masing berusia 24 dan 34 tahun berasal daripada Johor membawa kesemua PATI iaitu seramai lapan orang di dalam kereta pertama serta 10 orang sebagai penumpang kereta kedua.

"Hasil soal siasat awal mendapati kesemua PATI yang terdiri daripada 12 lelaki dan enam wanita ini adalah warganegara Myanmar yang masuk ke dalam negara tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah dan permit perjalanan.

"Dua pemandu terbabit bertanggungjawab sebagai ejen (tekong) untuk membawa PATI dari sempadan Malaysia-Thailand ke Johor Bahru bagi tujuan bekerja di lokasi yang masih belum pasti.

"Tekong berkenaan mengaku dibayar sebanyak RM300 untuk membawa seorang PATI yang ke destinasi yang dituju," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Azhari berkata, tekong serta PATI ditahan manakala kenderaan dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Berita Harian X