Jumaat, 14 Januari 2022 | 7:31pm
Antara 23 individu disyaki terbabit sindiket perjudian dalam talian dibawa polis ke Mahkamah Majistret Georgetown. FOTO/ NSTP Danial Saad
Antara 23 individu disyaki terbabit sindiket perjudian dalam talian dibawa polis ke Mahkamah Majistret Georgetown. FOTO/ NSTP Danial Saad

23 individu didakwa promosi judi dalam talian

GEORGETOWN: Seramai 23 individu termasuk 12 remaja bawah umur 21 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan mempromosikan perjudian dalam talian pada minggu lalu.

Kesemua tertuduh yang berusia 16 hingga 32 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibaca dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Rosnee Mohd Radzuan.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa mempromosikan permainan perjudian dalam talian dengan menggunakan set komputer.

Seramai 13 daripada mereka melakukan kesalahan itu di sebuah kondominium di Persiaran Gurney jam 5.25 petang, manakala 10 lagi melakukan kesalahan itu di sebuah kondominium di Jalan Kelawai pada jam 6.45 petang pada 7 Januari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Ia memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 serta hukuman penjara tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga berdepan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Syairah Aqilah Khalil mencadangkan ikat jamin RM10,000 bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun peguam, Pang Chuin Keat yang mewakili semua tertuduh merayu anak guamnya dikenakan jamin minimum.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM9,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan 7 Mac ini sebagai sebutan semula kes.

Berita Harian X