KUALA LUMPUR: Seorang remaja yang videonya tular dalam media sosial kerana dimandikan seperti 'jenazah' akibat cuba mencuri tabung masjid, hari ini dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini.
Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu ke atas Daniel Iskandar, 19, yang memakai kemeja T berwarna biru selepas dia mengaku bersalah cuba mencuri tabung Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah di masjid berkenaan di Kuang, Rawang dekat sini pada 11.58 malam, 8 Januari lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda.
"Mengaku salah," kata remaja lelaki itu dalam keadaan bersahaja ketika ditanya jurubahasa mahkamah sama ada dia mengaku salah atau tidak.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Nik Mohd Fadli turut menegur tindakan tertuduh yang cuba mencuri tabung masjid kerana ia perbuatan yang salah.
"Tahu apa salah awak? Duit orang bagi untuk masyarakat dan pembangunan masjid, awak curi letak dalam bilik jenazah pula. Harap benda ini jadikan satu pengajaran dan kesedaran pada awak," kata Nik Mohd Fadli.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang tidak bekerja itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 9 Januari lalu dan dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal memohon hukuman setimpal mengambil kira faktor kepentingan awam supaya memberi pengajaran kepada tertuduh serta mencegah orang lain daripada melakukan perbuatan sama.
Peguam Azman Abdullah, yang mewakili Daniel memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan alasan ini adalah kesalahan kali pertama anak guamnya serta dia telah insaf.
"Anak guam saya memohon maaf kepada mahkamah dan pihak masjid. Alasan dia (cuba mencuri) kerana dia perlukan duit untuk membeli ubat datuknya yang menghidap penyakit kencing manis. Dia cuba meminta kepada orang, tetapi mereka tidak boleh tolong.
"Anak guam saya adalah anak sulung daripada tiga adik-beradik dan ibu bapanya sudah bercerai sejak dia berusia lapan tahun. Dia tinggal bersama datuknya berusia 70-an dan kehidupan mereka bukan senang. Makan dan minum juga daripada sedekah jiran," kata Azman yang juga peguam pro bono (tanpa bayaran atau sukarela).
Menurut Azman, meskipun tertuduh salah, tindakan pihak mengambil video seperti yang tersebar menerusi laman sosial adalah tidak wajar kerana menyebabkan tekanan kepada tertuduh dan keluarga.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian pengadu yang juga siak di masjid itu pergi ke masjid dan mendapati tabung masjid tiada.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) seorang lelaki merosakkan tabung masjid sebelum mengheret dan menyembunyikan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah. - BERNAMA