Khamis, 13 Januari 2022 | 12:17pm
Lima nelayan warga Myanmar ditahan Maritim Malaysia kerana bekerja tanpa dokumen sah berdekatan perairan Pulau Jarak, Lumut. - Foto NSTP/Ihsan Maritim Malaysia
Lima nelayan warga Myanmar ditahan Maritim Malaysia kerana bekerja tanpa dokumen sah berdekatan perairan Pulau Jarak, Lumut. - Foto NSTP/Ihsan Maritim Malaysia

Nelayan asing dikesan bekerja tanpa dokumen

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan lima kru warga Myanmar yang dikesan bekerja di atas bot nelayan tempatan tanpa dokumen sah berdekatan perairan Pulau Jarak, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 5.05 petang itu, lima warga asing berkenaan dikesan susulan penahanan bot nelayan kelas C yang didapati menceroboh zon tangkapan di kedudukan 5.5 batu nautika timur Pulau Jarak.

Pengarah Maritim Malaysia Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman, berkata bot berkenaan ditahan Kapal Maritim (KM) Nyalau yang melakukan penugasan Op Benteng dan Op Pintas sekitar perairan negeri ini.

"Ketika ditahan, bot yang dikendalikan lima kru warga Myanmar termasuk tekong gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri sah.

"Bot berkenaan turut melakukan kesalahan apabila menangkap ikan kurang daripada 12 batu nautika mengikut syarat sah lesen," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shahrizan berkata, berikutan itu bot bersama kru serta hasil tangkapan pelbagai jenis ikan seberat kira-kira 300 kilogram ditahan untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imegresen 1959/63.

Berita Harian X