Rabu, 12 Januari 2022 | 3:36pm
Pelajar Universiti Malaya (UM), Ahmad Muazz Ishak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan membuat komen jelik terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan kerabat diraja, awal tahun lalu. - Foto NURUL AMANINA SUHAINI
Pelajar Universiti Malaya (UM), Ahmad Muazz Ishak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan membuat komen jelik terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan kerabat diraja, awal tahun lalu. - Foto NURUL AMANINA SUHAINI

Pelajar buat komen jelik terhadap TMJ didakwa

JOHOR BAHRU: Seorang pelajar Universiti Malaya (UM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana membuat komen jelik terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan kerabat diraja, awal tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Muazz Ishak, 23, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Ahmad Muazz dituduh menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman profil Twitter '@muazzishak' di pautan https://twitter.com/muazzishak secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Kesalahan itu dilakukan di Kampung Parit Jamal, Benut, Pontian, pada 5 Februari tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama.

Ia boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Idayu Salim, selain tertuduh diwakili Peguam Muhd Valantino Ifni Ho Ridzuan.

Noor Idayu menerusi pendakwaan menawarkan wang jaminan RM20,000 dan seorang penjamin, selain mengenakan syarat tambahan penyerahan pasport serta tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

Bagaimanapun, Muhd Valantino Ifni Ho memohon jaminan rendah dikenakan memandangkan tertuduh masih dalam pengajian di peringkat Sarjana Muda Sains Sosial tanpa sebarang biasiswa mahupun pinjaman pelajaran.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dan sebutan semula kes pada 14 Februari ini.

Berita Harian X