Rabu, 12 Januari 2022 | 3:20pm
 Fatihah ditemani suami keluar mahkamah selepas membayar denda dikenakan. NSTP/NURALIAWATI SABRI
Fatihah ditemani suami keluar mahkamah selepas membayar denda dikenakan. NSTP/NURALIAWATI SABRI

'Denda RM4,000 terima suapan RM320'

MELAKA: Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap seorang bekas Penolong Pegawai Perpaduan selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM320 lima tahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap Fatihah Azmi, 34, yang ketika itu penjawat awam iaitu Penolong Pegawai Perpaduan Daerah di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Melaka (JPIN) mengaku bersalah menerima wang tunai tanpa balasan berjumlah RM320 daripada seorang individu.

Tertuduh mengetahui individu terbabit mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah bank di Jalan Tun HS Lee, Kuala Lumpur dan di Taman Cheng Baru, Melaka pada 5 serta 6 November 2017.

Fatihah didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), A Kalai Vani.

Tertuduh yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork, memohon hukuman rendah diberikan, dan selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Elesabet memerintahkan tertuduh didenda RM2,000 bagi setiap pertuduhan atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda dikenakan.

Berita Harian X