Rabu, 12 Januari 2022 | 3:16pm
 Dua individu direman hari ini bagi membantu siasatan kes mengemukakan penyata akaun bank milik beberapa syarikat mengandungi butiran palsu untuk memasuki tender sebuah syarikat pembersihan bernilai lebih RM60 juta pada 2018 dan 2019. - NSTP/ Noorazura Abdul Rahman
Dua individu direman hari ini bagi membantu siasatan kes mengemukakan penyata akaun bank milik beberapa syarikat mengandungi butiran palsu untuk memasuki tender sebuah syarikat pembersihan bernilai lebih RM60 juta pada 2018 dan 2019. - NSTP/ Noorazura Abdul Rahman

2 lagi direman kes butiran palsu tender pembersihan lebih RM60 juta

ALOR SETAR: Dua lagi individu yang juga pemilik syarikat direman bagi membantu siasatan kes mengemukakan penyata akaun bank milik beberapa syarikat mengandungi butiran palsu untuk memasuki tender syarikat pembersihan bernilai lebih RM60 juta pada 2018 dan 2019.

Perintah reman selama enam hari bermula hari ini dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah Alor Setar, Eliana Ismail.

Ia menjadikan keseluruhan direman sehingga kini seramai 17 orang, manakala lapan lagi dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kedua-dua suspek berusia 37 dan 51 tahun itu tiba di lokap Mahkamah Alor Setar di sini, kira-kira jam 10.50 pagi tadi diiringi pegawai SPRM untuk mendapatkan perintah reman.

Dua suspek terbabit antara 25 individu ditahan SPRM bermula kelmarin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Sumber berkata, setakat ini 25 syarikat sedang disiasat kerana disyaki melakukan perbuatan itu bagi mendapatkan kontrak bernilai lebih RM60 juta.

"Jumlah yang ditahan bagaimanapun bukan muktamad kerana SPRM masih mencari individu atau syarikat lain yang mungkin terbabit dalam kes sama.

"Ada antara pihak yang dicari itu sudah menukar alamat, namun siasatan masih berjalan," katanya.

Semua yang ditahan membabitkan pengarah dan pemilik syarikat, pengurus, kontraktor serta individu bekerja sendiri.

Mereka mengemukakan penyata akaun bank beberapa syarikat yang mengandungi butiran palsu dipercayai dibuat untuk melayakkan syarikat berkenaan memasuki tender Penswastaan ​​Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Berita Harian X