Rabu, 12 Januari 2022 | 3:08pm

Padah terima suapan RM320, bekas penjawat awam didenda RM4,000

MELAKA: Padah menerima suapan berjumlah RM320 lima tahun lalu, seorang bekas Penolong Pegawai Perpaduan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman terhadap Fatihah Azmi, 34, sejurus dia mengaku bersalah terhadap dua tuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh ketika itu yang berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Perpaduan Daerah di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Melaka (JPIN) menerima wang tunai tanpa balasan berjumlah RM320 daripada seorang individu.

Tertuduh mengetahui bahawa individu terbabit mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah bank di Jalan Tun HS Lee, Kuala Lumpur serta di Taman Cheng Baru, Melaka pada 5 dan 6 November 2017.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), A Kalai Vani manakala tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork, memohon hukuman rendah diberikan kepada anak guamnya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Elesabet kemudian memerintahkan tertuduh didenda RM2,000 bagi setiap pertuduhan atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda dikenakan.

Berita Harian X