Rabu, 12 Januari 2022 | 1:29pm
Mahkamah Majistret hari ini memerintahkan kes seorang ahli perniagaan, Ahmad Noor Azhar Muhammad, yang menyerang pengawal keselamatan di sebuah kondominium dua tahun lalu sehingga menyebabkan kematian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Ipoh. - Foto BERNAMA

Kes bunuh pengawal keselamatan pindah ke Mahkamah Tinggi

IPOH: Mahkamah Majistret, di sini, hari ini memerintahkan kes seorang ahli perniagaan yang menyerang pengawal keselamatan di sebuah kondominium pada Disember 2020 sehingga menyebabkan kematian, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus, mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Hosna Mohamad Zikri untuk memindahkan kes yang dihadapi Ahmad Noor Azhar Muhammad, 34, ke Mahkamah Tinggi.

Ahmad Noor Azhar didakwa membunuh S Thava Sagayam, 64, di Menara Majestic, A-7-1, Jalan CM Yusuff, di sini di antara 8 pagi hingga 9.30 pagi pada 29 Disember 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Sebelum itu, dia didakwa di Mahkamah Majistret kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap Thava tetapi pertuduhan dipinda selepas polis mengklasifikasikan semula kematian pengawal keselamatan itu, yang diserang ketika bertugas di kolam renang kondominium sebagai kes bunuh pada 9 September tahun lalu. - BERNAMA

Berita Harian X