Rabu, 12 Januari 2022 | 9:27am

Dipukul rakan ketika tuntut hutang

SEREMBAN: Seorang buruh lelaki cedera di dada ketika menuntut hutang daripada rakannya di Taman Dusun Setia, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada orang awam.

Katanya, mangsa berusia 30 tahun dikatakan pergi ke rumah suspek berusia 28 tahun jam 8.30 malam.

"Mangsa ke rumah suspek untuk menuntut hutang selepas suspek dikatakan berjanji membayar hutang semalam.

"Sebaik tiba di lokasi, berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dengan suspek dan kemudian berlaku pergelutan antara mereka.

"Mangsa menyatakan suspek ada memegang objek tajam dan terkena dada mangsa sehingga berdarah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa dibawa orang awam ke Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) Seremban untuk rawatan.

"Polis masih mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X