Selasa, 11 Januari 2022 | 6:32pm

Tak mengaku salah dera 7 anak

GEORGETOWN: Seorang bapa hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tujuh pertuduhan mendera tujuh anaknya berumur lima hingga 14 tahun, tahun lalu.

Tertuduh yang berumur 42 tahun dan bekerja sebagai pembantu peniaga di Pasar Tun Sardon, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid dan tiga pertuduhan lagi dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Lelaki itu didakwa mendera dengan cara menyebabkan kecederaan ke atas tubuh dan mengabaikan kesihatan enam kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki di bawah jagaannya itu di rumahnya di Solok Tengku, Jelutong di sini antara Januari hingga Disember 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Rais Imran Hamid dan Muhammad Shahrezal Mohd Shukri, memohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin atas alasan kes itu serius.

Bagaimanapun, Hakim Mazdi dan Norsalha membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM60,000 untuk semua pertuduhan.

Kedua-dua hakim juga mengenakan syarat tambahan terhadap ikat jamin berkenaan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri dua kali setiap bulan di balai polis berdekatan dan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Tertuduh juga dilarang mendekati atau mengganggu mangsa dan saksi sehingga kes selesai.

Kedua-dua hakim menetapkan 11 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes tertuduh yang diwakili peguam Md Yusuf Md Idris.

Sementara itu dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret, tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Rosnee Mohd Radzuan, atas pertuduhan mencederakan isterinya, seorang suri rumah warga Singapura berumur 42 tahun.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh dilarang mengugut mangsa untuk menarik balik laporan dan menetapkan kes disebut semula pada 11 Februari akan datang.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Syairah Aqilah Khalil manakala tertuduh diwakili peguam Muhamad Asri Abdul Hamid. – BERNAMA

Tertuduh (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Georgetown hari ini atas tujuh tuduhan mendera anak berusia antara lima hingga 14 tahun di Jelutong, tahun lalu. - NSTP/MIKAIL ONG
Tertuduh (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Georgetown hari ini atas tujuh tuduhan mendera anak berusia antara lima hingga 14 tahun di Jelutong, tahun lalu. - NSTP/MIKAIL ONG
Berita Harian X