Selasa, 11 Januari 2022 | 2:55pm

Peniaga air nafi salah guna sewa premis lebih RM63,000

MELAKA: Bekas Penolong Setiausaha Kerja Eksekutif, Majlis Pengakap Negeri Melaka (MPNM) didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas 30 tuduhan melakukan pecah amanah tujuh tahun lalu.

Tertuduh Ahmad Danial Osman, 32, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke 30, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta milik MPNM iaitu bayaran sewa tiga premisnya berjumlah RM63,400 yang tidak dimasukkan ke akaun pertubuhan, tetapi diguna untuk kegunaan sendiri.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu sekitar negeri ini sejak 15 Oktober 2015 hingga 30 Januari 2018.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Irwan kemudian memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000, namun tertuduh yang kini bekerja sebagai peniaga air merayu ia dikurangkan berikutan tidak mempunyai pendapatan tetap dan menghidap diabetes.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan menetapkan 14 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh kemudian membayar wang jaminan di kaunter mahkamah.

Pegawai SPRM mengiringi bekas Penolong Setiausaha Kerja Eksekutif MPNM, Ahmad Danial Osman yang didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh. - NSTP/SYAFEEQ AHMAD
Pegawai SPRM mengiringi bekas Penolong Setiausaha Kerja Eksekutif MPNM, Ahmad Danial Osman yang didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh. - NSTP/SYAFEEQ AHMAD
Berita Harian X