Selasa, 11 Januari 2022 | 11:03am
Sebahagian 15 individu termasuk seorang wanita direman bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan penyata akaun bank milik beberapa syarikat yang mengandungi butiran palsu untuk memasuki tender sebuah syarikat pembersihan pada 2018 dan 2019 di Kompleks Mahkamah Alor Setar. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
Sebahagian 15 individu termasuk seorang wanita direman bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan penyata akaun bank milik beberapa syarikat yang mengandungi butiran palsu untuk memasuki tender sebuah syarikat pembersihan pada 2018 dan 2019 di Kompleks Mahkamah Alor Setar. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir

15 direman kemuka dokumen palsu tender pembersihan

ALOR SETAR: Seramai 15 individu termasuk seorang wanita direman bagi membantu siasatan kes mengemukakan penyata akaun bank milik beberapa syarikat mengandungi butiran palsu pada 2018 dan 2019.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor selepas membenarkan permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Mereka yang berusia 31 hingga 68 tahun direman selama tiga hingga lima hari bermula hari ini.

Menurut sumber, seramai 21 individu ditahan secara berasingan sekitar Bangi, Selangor dan Pejabat SPRM Kedah semalam.

Katanya, kesemua yang ditahan terdiri daripada kontraktok, pemilik, pengarah dan pengurus syarikat serta individu bekerja sendiri.

"Mereka ditahan kerana terbabit mengemukakan penyata akaun bank milik syarikat yang mempunyai butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan untuk melayakkan mereka memasuki tender Penswastaan ​​Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara

"Bagaimanapun, seramai enam daripada semua yang ditahan dilepaskan dengan jaminan SPRM," katanya.

Sumber memaklumkan, SPRM juga sedang mengesan individu lain yang dipercayai terbabit dan sedang mendapatkan dokumen penting dalam kes itu selain merakam pernyataan beberapa saksi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Berita Harian X