Isnin, 10 Januari 2022 | 2:55pm
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf menunjukkan wang tunai dan peralatan yang dirampas daripada penjenayah di Cameron Highlands. - FOTO POLIS PAHANG
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf menunjukkan wang tunai dan peralatan yang dirampas daripada penjenayah di Cameron Highlands. - FOTO POLIS PAHANG

3 wanita geng pecah kereta mewah ditahan

CAMERON HIGHLANDS: Enam individu termasuk tiga wanita ditahan kerana disyaki terbabit kes pecah cermin kenderaan mewah dan melarikan wang tunai berjumlah RM260,000 di Tanah Rata, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf, berkata enam individu berumur antara 19 hingga 38 tahun ditahan di kawasan Brinchang pada jam 11.40 malam selepas polis menerima laporan kes berkenaan pada jam 10.50 malam.

"Anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands berjaya menahan enam suspek kurang daripada sejam dan pemeriksaan menemukan wang tunai RM260,000 dan beberapa peralatan yang digunakan dalam kegiatan terbabit.

"Turut dirampas empat paket plastik berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 34.74 gram dan satu paket plastik berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 4.2 gram.

"Selain itu, polis turut merampas kereta Perodua Myvi serta pelbagai barang kemas, tiga kepingan emas, 10 telefon bimbit pelbagai jenama dan beg berisi wang tunai RM3,843," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ramli berkata, siasatan lanjut mendapati dua suspek terbabit tujuh kes jenayah pecah cermin kereta dan curi bersama dua lagi rakan jenayah mereka yang masih bebas.

"Usaha mengesan dua suspek masih bebas dikenali Muhammad Zaidi Zainal dan Faiz sedang dijalankan. Dengan penahanan enam individu terbabit, polis berjaya menyelesaikan kes pecah cermin kenderaan sekitar daerah ini.

"Ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan kesemua mereka direman sehingga Rabu untuk siasatan lanjut," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan selain turut disiasat mengikut Seksyen 394 (2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X