Isnin, 10 Januari 2022 | 12:01pm
Anggota Bomba dan Penyelamat Port Dickson berusaha membuka pintu kereta untuk mengeluarkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 18 bulan yang terkunci dalam kereta di Persiaran Diana Taman Sri Pinang, Port Dickson. - Foto ihsan Bomba.
Anggota Bomba dan Penyelamat Port Dickson berusaha membuka pintu kereta untuk mengeluarkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 18 bulan yang terkunci dalam kereta di Persiaran Diana Taman Sri Pinang, Port Dickson. - Foto ihsan Bomba.

Budak 18 bulan terperangkap dalam kereta setengah jam

PORT DICKSON: Seorang kanak-kanak berusia 18 bulan terperangkap dalam kereta hampir setengah jam sebelum diselamatkan anggota bomba di Persiaran Diana Taman Sri Pinang, di sini petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Mohd Hairul Izam Mazelan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2 petang dan sampai ke lokasi lapan minit kemudian.

Menurutnya, operasi diketuai Mohd Harizan Mohd Najib bersama lapan anggota.

"Sebaik pasukan bomba sampai di lokasi kejadian, terdapat seorang kanak-kanak yang terperangkap dalam sebuah kenderaan jenis Proton Pesona di pekarangan rumah keluarganya.

"Kami difahamkan kanak-kanak ini, Muhammad Niyaz Naim Mohd Khairul Nadzmi yang berusia setahun enam bulan masuk ke dalam kereta dan kereta itu terkunci secara automatik," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, bomba menggunakan peralatan khas dan kusyen udara untuk membuka pintu

"Kami dapat mengeluarkan mangsa dengan selamat tanpa sebarang kecederaan dan kerosakan pada kenderaan," katanya.

Berita Harian X