Ahad, 9 Januari 2022 | 8:46pm
 - Foto hiasan
- Foto hiasan

Kompaun RM56,000 kerana berhibur

KUALA LUMPUR: Polis mengeluarkan kompaun berjumlah RM56,000 terhadap pengunjung dan pemilik pusat hiburan di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini semalam, kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menerusi serbuan pada jam 10.50 malam, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields mengenakan kompaun RM1,000 setiap seorang kepada 55 pengunjung manakala pemilik premis hiburan turut dikompaun RM1,000.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata pihaknya turut menahan dua individu dipercayai penganjur dan penjaga premis serta 33 pengunjung warga asing berusia antara 18 hingga 56 tahun.

Turut dirampas masing-masing satu konsol, pembesar suara dan mikrofon untuk membantu siasatan.

"Kita mendapati premis hiburan itu menganjurkan parti persendirian dan berselindung di sebalik rumah kedai dua tingkat.

"Kehadiran pengunjung yang ramai dilihat berhibur sambil minum minuman keras menyukarkan penjarakan fizikal.

"Susulan itu, kita keluarkan kompaun berjumlah RM56,000 dan menahan dua pekerja serta 33 warga asing dari 21 negara selepas memeriksa tiga pekerja lelaki dan 85 pengunjung termasuk 38 wanita," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amihizam berkata, ujian saringan air kencing mendapati semua tahanan negatif dadah sebelum mereka dibawa ke IPD Brickfields untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hiburan, Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 17 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021.

Berita Harian X