Ahad, 9 Januari 2022 | 2:12pm
Operasi dilaksanakan Unit Kuasa terdiri lapan pegawai dan 51 anggota di sekitar pusat bandar, Jalan Pahang, Jalan Raja Laut dan DUKE.
Operasi dilaksanakan Unit Kuasa terdiri lapan pegawai dan 51 anggota di sekitar pusat bandar, Jalan Pahang, Jalan Raja Laut dan DUKE.

13 pemandu mabuk ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan 13 lelaki kerana dipercayai memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol dalam operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, kelmarin hingga malam tadi.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata operasi itu dilaksanakan Unit Kuasa terdiri lapan pegawai dan 51 anggota di sekitar pusat bandar, Jalan Pahang, Jalan Raja Laut dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) di sini.

Katanya, operasi bermula jam 9 malam hingga 4 pagi itu menumpukan Operasi Samseng Jalanan dan Operasi Motosikal serta pelbagai kesalahan lain, termasuk pemandu mabuk pada malam hujung minggu.

"Hasil pemeriksaan, polis menahan 13 lelaki berusia 26 hingga 43 tahun kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Ujian pernafasan mendapati, paras alkohol dalam tubuh mereka melebihi paras dibenarkan dan semua mereka dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan individu yang terbabit akan didakwa dalam tempoh terdekat mengikut seksyen sama.

"Kita turut menahan lapan penunggang motosikal kerana menunggang dalam keadaan berbahaya dengan melakukan aksi 'zig zag', roket, 'Superman' serta bersaing sesama sendiri.

"Semua mereka berusia antara 15 hingga 21 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain," katanya.

Sarifudin berkata, secara keseluruhan polis mengeluarkan 350 saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi ini, selain menyita sembilan motosikal yang didapati mengubahsuai ekzos.

Berita Harian X