Ahad, 9 Januari 2022 | 1:14pm
Gambar tular dalam laman sosial menunjukkan seorang pemandu kereta memasuki laluan bertentangan di Persiaran Senawang 1, berhampiran persimpangan lampu isyarat Jalan Seremban-Tampin. - Foto ihsan pembaca
Gambar tular dalam laman sosial menunjukkan seorang pemandu kereta memasuki laluan bertentangan di Persiaran Senawang 1, berhampiran persimpangan lampu isyarat Jalan Seremban-Tampin. - Foto ihsan pembaca

Pemandu tular potong di garisan berkembar, serah diri

SEREMBAN: Seorang lelaki tampil menyerah diri kepada polis, di sini, semalam, susulan tular rakaman dalam media sosial menunjukkan kereta dipandunya memotong kenderaan lain di garisan berkembar dengan memasuki laluan bertentangan.

Kejadian dilihat berlaku ketika keadaan trafik sesak di Persiaran Senawang 1, berhampiran satu persimpangan lampu isyarat di Jalan Seremban-Tampin.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof, berkata lelaki berusia 29 tahun itu hadir ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban, malam tadi.

"Kira-kira jam 10 malam tadi, kami mengesan satu pautan dalam media sosial memaparkan tindakan seorang pemandu kereta berwarna emas mengabaikan isyarat lalu lintas dan memotong kenderaan lain di garisan berkembar.

"Unit Risikan dan Operasi, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Seremban, berjaya mengesan suspek pada jam 11.30 malam serta memanggil pemandu kenderaan itu ke Balai Trafik IPD Seremban.

"Hasil siasatan dijalankan, lelaki itu mengaku melakukan kesalahan terbabit seperti yang dipaparkan melalui pautan tular dalam media sosial," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, saman dikeluarkan terhadap lelaki bekerja sebagai pemandu lori itu, mengikut Kaedah 12(3) LN 167/59 kerana memotong di garisan berkembar dan Seksyen 79(2) APJ kerana mengabaikan isyarat lalu lintas.

Berita Harian X