Sabtu, 8 Januari 2022 | 12:23pm
Laporan BH Online semalam mengenai kes lelaki Orang Asli maut diserang harimau di belakang rumahnya di Kampung Sau, Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan.
Laporan BH Online semalam mengenai kes lelaki Orang Asli maut diserang harimau di belakang rumahnya di Kampung Sau, Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan.

PERHILITAN pantau, kawal perkampungan Orang Asli di Pos Bihai

KOTA BHARU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan melancarkan pemantauan dan kawalan di perkampungan Orang Asli di Pos Bihai, Gua Musang, selain turut memasang dua perangkap berkamera iaitu di Kampung Tendrik dan Kampung Hak.

Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani, berkata setakat ini, pihaknya masih gagal menangkap dua harimau belang yang dilaporkan berkeliaran di Kampung Remau, Pos Bihai pada Disember lalu sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk Orang Asli.

"Sudah hampir sebulan kami pasang perangkap, namun belum berhasil. Haiwan ini tidak masuk mahu masuk ke dalam perangkap yang dipasang biarpun dan sudah diumpan dengan seekor kambing yang diletakkan dalam perangkap.

"Kebimbangan semakin memuncak apabila seorang penduduk Orang Asli ditemui mati dibaham harimau ketika berada di bahagian belakang rumahnya. Kami sangat berharap kedua-dua harimau belang yang diburu selama ini dapat ditangkap segera, sekali gus melegakan penduduk kampung," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki Orang Asli berusia 59 tahun ditemui maut dibaham seekor harimau dalam kejadian di Kampung Sau, Pos Bihai.

Mangsa, Anek Along ketika itu dilaporkan sedang menumbuk padi huma bersama anak perempuannya di belakang rumah mereka, kira-kira jam 9.10 pagi sebelum dia hilang.

Anaknya cuba memanggil mangsa beberapa kali dan mencari ayahnya di belakang rumah apabila menyedari ada kesan darah pada daun-daun pokok dan terus memanggil orang kampung. Berdasarkan kesan darah itu, penduduk mencari mangsa sebelum mengesan seekor harimau dan membaling lembing ke arah haiwan berkenaan.

Harimau berkenaan lari dan orang kampung bergegas melaporkan perkara itu kepada PERHILITAN yang berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai. Pada jam 12.15 tengah hari, kakitangan PERHILIRAN terserempak harimau belang berhampiran dengan mangsa dan terpaksa melepaskan tembakan kerana haiwan itu meluru ke arah mereka.

Pemeriksaan luaran ke atas harimau belang jantan yang dianggarkan berusia tiga tahun dengan berat 120 kilogram (kg) itu kemudian, tidak menemui sebarang kesan jerat pada haiwan terbabit kecuali luka pada bahagian muka dipercayai akibat terkena lembing penduduk kampung sebelum itu.

Mohamad Hafid berkata, pihaknya juga masih belum dapat memastikan sama ada harimau belang yang ditembak mati PERHILITAN susulan kejadian terbabit adalah satu daripada dua ekor haiwan itu yang diburu sebelum ini.

"Biasanya binatang buas ini akan melarikan diri apabila terserempak manusia, namun kami bimbang ia bertindak sebaliknya jika diganggu. Kita minta penduduk yang menemui harimau segera menghubungi kami supaya tindakan sewajarnya dapat diambil," katanya.

Berita Harian X