Jumaat, 7 Januari 2022 | 5:42pm
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto NSTP
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto NSTP

SRC: Najib mohon dengar rayuan bukti baharu

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memohon Mahkamah Persekutuan mendengar terlebih dahulu rayuannya berkaitan bukti baharu yang ingin dikemukakannya dalam kes membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mengesahkan perkara itu, berkata ini kerana bukti tersebut mungkin mempunyai kaitan penting dengan rayuan utama Najib bagi membatalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Andrin Kamarul pula berkata Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Siti Hajar Mustaffa menetapkan 24 Januari ini sebagai pengurusan kes selanjutnya bagi rayuan utama pada prosiding yang berlangsung secara dalam talian hari ini.

Pada 7 Disember lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu bagi rayuannya dalam kes SRC.

Sehari selepas itu, mahkamah sama mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC.

Hakim, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 28 Julai 2020.

Pada hari sama, Najib, 69, memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan. – BERNAMA

Berita Harian X