KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket memproses dan mengedar dadah di sekitar Lembah Klang selepas menahan 15 individu dalam beberapa siri serbuan membabitkan nilai rampasan dadah RM305,298.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sentul, menjalankan risikan ke atas satu sindiket dadah yang bergerak aktif di kawasan Lembah Klang dan turut menjadikan pusat hiburan tumpuan untuk mengedar dadah.
Pada jam 7 malam Selasa lalu, katanya, satu operasi dilancarkan di sebuah rumah di Taman Mastiara, Batu 5, Jalan Ipoh, di sini dan menahan seorang wanita bersama tiga lelaki berusia dalam 24 hingga 28 tahun.
"Dalam serbuan pertama ini, pihak polis merampas dadah kanabis seberat 723.50 gram, pil erimin 5 (5.60 gram), pil esctacy (3.10 gram), ketamin (0.99 gram) dan methamphetamine (0.94 gram) serta membongkar kegiatan semua suspek yang menjadikan rumah teres dua tingkat itu sebagai makmal pemprosesan dadah haram dengan penemuan bahan-bahan kimia yang dipercayai bahan utama di dalam memproses dadah.
"Serbuan kedua pula menahan lima lelaki dan dua wanita berusia 25 hingga 30 tahun di sebuah rumah di Taman City, Jinjang serta menemui sejumlah dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.
Eng Lai berkata, hasil soal siasat, polis kemudian membuat serbuan ketiga pada jam 12.30 tengah malam Rabu lalu di sebuah kondominium di Jalan Putramas Off Jalan Kuching, Sentul dan menahan seorang lelaki berusia 26 tahun.
"Hasil pemeriksaan menemui dadah kanabis seberat 12 gram, erimin 5 (600 biji) dan serbuk MDMA (5,079 gram).
"Tindakan susulan dibuat selepas pihak polis mendapat maklumat mengenai rakan-rakan suspek yang menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Cheras dan Kajang," katanya.
Beliau berkata, hasil maklumat itu, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Cheras Awana, Batu 9, Cheras, Selangor dan menahan seorang lelaki serta dua wanita berusia antara 34 tahun hingga 65 tahun.
"Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas rumah berkenaan menjumpai dadah kanabis seberat 2.74 gram, pil erimin 5 (10 biji), pil esctacy (62 biji) dan Serbuk MDMA (72.36 gram).
"Ujian saringan air kencing mendapati lapan suspek positif dadah THC dan ketamin manakala tiga suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah," katanya.
Beliau berkata, suspek direman seminggu bermula Rabu lalu hingga 11 Januari inibagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.