Jumaat, 7 Januari 2022 | 3:30pm
Rosmah hadir prosiding kes rasuah berkaitan projek tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto hiasan NSTP /ROHANIS SHUKRI
Rosmah hadir prosiding kes rasuah berkaitan projek tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto hiasan NSTP /ROHANIS SHUKRI

Rayuan Rosmah batal kes rasuah pada Mac

PUTRAJAYA: Rayuan akhir Datin Seri Rosmah Mansor untuk membatalkan perbicaraan kes rasuah berkaitan projek solar hibrid dan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram, sebagai ketua pendakwaan dalam kes itu akan didengar di Mahkamah Persekutuan, pada 24 Mac ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn, berkata tarikh pendengaran itu ditetapkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Siti Hajar Mustaffa semasa pengurusan kes secara dalam talian, hari ini.

"Kedua-dua pihak perlu memfailkan hujahan masing-masing pada 9 Mac ini," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Prosiding itu turut disertai peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah.

Rosmah merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Disember lalu yang menolak rayuannya bagi membatalkan keseluruhan perbicaraannya, dalam usaha untuk dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan serta menggugurkan Sri Ram sebagai ketua pendakwaan.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Hanipah Farikullah dalam keputusan sebulat suara berkata, panel hakim bersetuju dengan hujahan pendakwaan Mahkamah Jenayah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberi pengisytiharan yang dimohon Rosmah dan membenarkan bantahan awal pendakwaan terhadap rayuan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu.

Permohonan Rosmah untuk membatalkan perbicaraan kes rasuah dihadapinya dan menggugurkan Sri Ram ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 September tahun lalu.

Rosmah kini pada peringkat membela diri terhadap pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor, sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings memperoleh RM1.25 bilion projek untuk melengkapkan 369 sekolah di luar bandar Sarawak dengan tenaga solar hibrid.

Perbicaraan kes itu akan bersambung 10 Januari ini dengan Najib akan memberi keterangan. – BERNAMA

Datin Seri Rosmah Mansor di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Datin Seri Rosmah Mansor di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto NSTP/HAZREEN MOHAMAD

Berita Harian X