Jumaat, 7 Januari 2022 | 2:41pm
Jagdeep dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas enam pertuduhan menerima deposit tanpa lesen untuk tujuan pelaburan. - Foto NSTP/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Jagdeep dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas enam pertuduhan menerima deposit tanpa lesen untuk tujuan pelaburan. - Foto NSTP/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Lelaki didakwa terima deposit tanpa lesen

SEREMBAN: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas enam pertuduhan menerima deposit tanpa lesen, untuk tujuan pelaburan.

Tertuduh, BV Jagdeep Singh, 37, didakwa menerima deposit daripada seorang lelaki berjumlah RM449,700, kira-kira dua tahun lalu.

Dia mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di depan Hakim Diana Md Razali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati bersetuju untuk menerima deposit daripada seorang lelaki berusia 51 tahun berjumlah keseluruhan RM449,700 sebagai satu pelaburan yang tertuduh mengetahui dia tidak mempunyai satu lesen mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Kesalahan dilakukan dari 25 Jun 2019 hingga 17 Ogos 2019 di sebuah cawangan bank di Bandar Baru Nilai, Nilai.

Tertuduh melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Sekiranya disabitkan kesalahan, dia boleh dipenjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun atau didenda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya.

Terdahulu, prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Christhoper Enteri anak Mawan, manakala tertuduh diwakili Peguam Harjinder Singh Sandhu.

Pihak pendakwaan memohon jaminan dikenakan sebanyak RM50,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, pihak pembelaan merayu jaminan RM10,000 untuk semua pertuduhan memandangkan tertuduh tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menyara tiga anak, isteri serta ibu bapa yang tidak bekerja.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM12,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 14 Februari.

Berita Harian X