Jumaat, 7 Januari 2022 | 2:40pm
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao (dua dari kiri) pada sidang media tangkapan kes menjual dan memproses arak tiruan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara. - Foto NSTP/Faiz Anuar
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao (dua dari kiri) pada sidang media tangkapan kes menjual dan memproses arak tiruan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara. - Foto NSTP/Faiz Anuar

Polis rampas arak tiruan bernilai RM100,000 di Klang

KLANG: Polis merampas kira-kira 500 botol dan 254 tin arak tiruan dianggar bernilai RM100,000 selepas memeriksa dua rumah di Meru, di sini yang dijadikan premis memproses dan menjual minuman keras itu, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, operasi serbuan menerusi Op Kontraban itu membabitkan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara.

Menurutnya, dalam serbuan kira-kira jam 4.20 petang itu, polis menahan seorang wanita warga Myanmar berumur 21 tahun dan merampas wang tunai RM1,066 di dua rumah berkenaan.

Katanya, premis yang beroperasi secara haram sejak dua tahun lalu itu didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen.

"Suspek dipercayai bekerja sebagai kerani di premis itu gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran berkaitan keberadaan barang-barang terbabit di situ," katanya pada dalam sidang media di IPD Klang Utara, di sini hari ini.

Vijaya Rao berkata wanita itu juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan disyaki menetap di negara ini secara tidak sah sejak 2019.

"Wanita itu kini direman selama 14 hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Beliau berkata pihaknya kini mengesan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warganegara Myanmar berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun bagi membantu siasatan kes itu.

Berita Harian X