Khamis, 6 Januari 2022 | 11:03pm
Tujuh PATI warga Indonesia ditahan berhampiran Terminal Bas Tawau, di sini, semalam. NSTP/Ihsan ATB Dua
Tujuh PATI warga Indonesia ditahan berhampiran Terminal Bas Tawau, di sini, semalam. NSTP/Ihsan ATB Dua

ATB Dua tahan 7 PATI cuba masuk secara haram

TAWAU: Cubaan tujuh lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan khidmat ejen atau tekong darat untuk menyusup masuk secara haram ke daerah ini gagal, selepas mereka ditahan di kawasan Terminal Bas Tawau, dekat sini, semalam.

Kesemua mereka yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berjaya dikesan menerusi Ops Benteng Bersama oleh Tim Quick Reaction Force (QRF), Angkatan Tugas Bersama (ATB 2) selepas diekori dari Kampung Kurnia Jaya sehingga ke pusat bandar, di sini, pada jam 10.15 malam.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad, berkata tekong darat terbabit bagaimanapun berjaya meloloskan diri sebaik menyedari kehadiran Tim QRF.

Katanya, tekong darat bertindak menurunkan dan meninggalkan kesemua PATI terbabit berhampiran kawasan terminal bas sebelum memecut kenderaannya bagi mengelak ditahan pasukan keselamatan.

"Hasil pemeriksaan ke atas semua Pati warga Indonesia berusia antara 22 hingga 80 tahun itu mendapati mereka tidak memiliki dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah cuba memasuki Malaysia bagi mendapatkan pekerjaan di Sabah.

"Siasatan awal turut mendedahkan, mereka menaiki bot yang diaturkan oleh ejen dari Pulau Sebatik menuju ke Tawau, sebelum dibawa untuk menaiki bas ke Kota Kinabalu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, kesemua PATI berkenaan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bagi proses saringan COVID-19 dan tindakan selanjutnya.

Berita Harian X