Khamis, 6 Januari 2022 | 10:47pm
Keadaan Perodua Kancil dipandu warga emas remuk dalam kemalangan yang mengakibatkan mangsa maut di tempat kejadian di Kilometer 2, Jalan Ajil-Kuala Berang. - Foto ihsan PDRM
Keadaan Perodua Kancil dipandu warga emas remuk dalam kemalangan yang mengakibatkan mangsa maut di tempat kejadian di Kilometer 2, Jalan Ajil-Kuala Berang. - Foto ihsan PDRM

Warga emas maut kemalangan

KUALA BERANG: Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan roda di Kilometer 2, Jalan Ajil–Kuala Berang, hadapan bangunan Balai Berita The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), hari ini.

Nahas jam 1.58 tengah hari itu menyebabkan mangsa, Mohammad Zawawi Abdullah, 61, yang memandu Perodua Kancil meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata kemalangan itu membabitkan dua kenderaan iaitu pacuan empat roda Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 29 tahun dan Perodua Kancil dipandu warga emas terbabit.

Katanya, siasatan awal mendapati pemandu pacuan empat roda yang juga pengurus sebuah syarikat swasta di sini dikatakan dalam perjalanan balik ke rumahnya di bandar Kuala Berang selepas membeli alat ganti kenderaan di Pekan Ajil, jam 1 tengah hari.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian jam 1.15 tengah hari, kereta Perodua Kancil dari arah sama dikatakan secara tiba-tiba memasuki lorong kanan untuk membuat pusingan 'U'.

"Berikutan jarak yang terlalu dekat, pemandu Hilux dikatakan tidak sempat mengelak dan membrek lalu melanggar bahagian tepi sebelah kanan sebelum terbabas ke kawasan berumput sebelah kiri jalan," katanya menerusi kenyataan.

Mohd Adli berkata, akibat kemalangan itu, mangsa dari Kampung Bukit Kolam, di sini, parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara pemandu pacuan empat roda yang pengurus sebuah syarikat swasta dari Taman Permint, di sini, tidak cedera.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X