X
Khamis, 6 Januari 2022 | 12:59pm

Bekas kontraktor didakwa ubah wang haram RM2.7 juta

SEREMBAN: Bekas kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 21 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.7 juta, dari 2015 hingga 2020.

Lai Ching Wai, 64, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Diana Md Razali.

Mengikut pertuduhan, Ching Wai didakwa memindahkan wang hasil daripada aktiviti wang haram dari akaun simpanannya berjumlah RM2.7 juta antara 2 November hingga 11 November 2020.

Tertuduh juga didakwa menggunakan akaun simpanannya sebagai peralatan kesalahan berkaitan perlakuan aktiviti haram ke beberapa akaun bank lain antara 21 Ogos 2015 hingga 19 Ogos 2020.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di beberapa cawangan bank di daerah Seremban.

Tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong, manakala tertuduh diwakili peguam S Karthigesan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM7,000 terhadap tertuduh dan tarikh sebutan semula kes pada 15 Februari depan untuk serahan dokumen.

Ching Wai dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini atas tuduhan terbabit aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM2.7 juta. - Foto NSTP/Azrl Edham Mohd Aminuddin
Ching Wai dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini atas tuduhan terbabit aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM2.7 juta. - Foto NSTP/Azrl Edham Mohd Aminuddin
Berita Harian X