Khamis, 6 Januari 2022 | 12:25pm
 Foto tular di media sosial berkaitan kes buli yang berlaku di MRSM Sultan Azlan Shah
Foto tular di media sosial berkaitan kes buli yang berlaku di MRSM Sultan Azlan Shah

Nasib 10 pelajar MRSM Kuala Kangsar di tangan pendakwa raya

KUALA KANGSAR: Polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung satu kes buli membabitkan 10 pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaakob, berkata kertas siasatan kes itu telah dilengkapkan pada 17 Disember, dan diserahkan kepada pejabat pendakwa raya Perak untuk tindakan seterusnya dua hari lalu.

"Kes membabitkan 10 pelajar MRSM Kuala Kangsar ini selesai disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, jadi sekarang ia di bawah (tindakan lanjut) pihak pendakwa raya," katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan bersama warga Ibu Pejabat Polis Daerah hari ini.

Beberapa media sebelum ini melaporkan polis telah mengambil keterangan sembilan pelajar berusia 13 tahun dan seorang 15 tahun yang dipercayai terbabit dalam satu kes buli, susulan penularan video berdurasi 10 saat di media sosial yang memaparkan seorang pelajar dikepung rakan-rakannya di dalam bilik asrama dengan mangsa ditumbuk di bahagian perut. – BERNAMA

Berita Harian X